Trump mengalah demi rakyat - Utusan Malaysia

Trump mengalah demi rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Selepas tertangguh hampir seminggu dan menerima tekanan kuat daripada pelbagai pihak, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akhirnya akur dan menandatangani rang undang-undang pakej rangsangan Covid-19 bernilai AS$900 bilion (RM3.6 trilion) semalam.

Pakej rangsangan itu mengandungi bantuan kecemasan Covid-19 untuk penduduk di negara ini dan dengan tanda tangan Trump, kerajaan AS dapat mengelak daripada ditutup hari ini.

“Saya menandatangani rang undang-undang ini untuk memulihkan faedah pengangguran, menghentikan pengusiran, memberikan bantuan sewaan, menambah dana untuk Program Perlindungan Gaji (PPP), mengembalikan semula industri penerbangan negara ini, menambah lebih banyak peruntukan untuk pengedaran vaksin dan banyak lagi,” jelas Trump menerusi kenyataan.

Trump membuat keputusan untuk meluluskan rang undang-undang tersebut sehari selepas pelbagai pihak mendesak beliau membuat keputusan yang tepat berhubung nasib dan masa depan penduduk di negara ini berikutan pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini.

Menurut firma penyelidikan The Century Foundation, dua program faedah pengangguran Persekutuan yang diluluskan pada Mac lalu sebagai sebahagian daripada pelan bantuan Covid-19 sudah tamat tempoh kelmarin.

Melalui pakej rangsangan yang diluluskan oleh Kongres pada 21 Disember lalu itu, dua program berkenaan dapat disambung semula termasuk beberapa faedah lain.

Sebelum ini, Trump menyifatkan rang undang-undang tersebut sebagai ‘memalukan’ dan berkeras untuk tidak menandatanganinya.

Banyak pihak lega

Senator dari Parti Republikan, Mitt Romney merupakan antara ahli politik yang melahirkan kelegaan selepas Trump menandatangani rang undang-undang tersebut.

“Bantuan akan disalurkan kepada anda tidak lama lagi, terutamanya untuk mereka yang amat memerlukan,” ciapnya di Twitter.

Semalam, beliau menggesa Trump supaya ‘segera menandatangani atau memberi veto terhadap pakej bantuan COVID-19 supaya Kongres dapat bertindak sebelum terlambat.’

Pemimpin Dewan Senat, Mitch McConnell memuji tindakan Trump yang akhirnya mengalah demi kepentingan rakyat dan Speaker Kongres, Nancy Pelosi menyifatkan pakej rangsangan itu sebagai ‘duit muka untuk menghancurkan ancaman Covid-19’.

Bantuan genting

Dalam kenyataannya, Trump terus mendesak agar bantuan AS$600 (RM2,432) ditingkatkan menjadi AS$2,000 (RM8,108), selain mengkritik pakej rangsangan itu melibatkan banyak perbelanjaan untuk program tidak berkaitan.

Pakej rangsangan itu antara lain memperluaskan bantuan persekutuan kepada golongan penganggur hingga pertengahan Mac depan.

Selain itu, pakej itu juga menyediakan pinjaman terjamin serta bantuan berbilion dolar kepada syarikat kecil, restoran, hotel dan industri penerbangan.

Tempoh moratorium dilanjutkan terhadap penduduk yang diusir kerana tidak dapat menjelaskan bayaran sewa, menangguhkan penyitaan dan menyediakan dana untuk pengagihan vaksin Covid-19. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya