LONDON: Seorang lelaki dikenakan hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh rakan serumah dan tinggal bersama mayatnya selama enam minggu.
Lapor Mirror, Matthew Chibnall, 55, menikam Anil Vegad, 57, hingga mati sebelum menggunakan kad bank milik rakannya untuk membeli minuman keras ketika mayatnya masih berada di pangsapuri mereka.
Selepas menghabiskan semua wang di akaun bank Vegad, Chibnall akhirnya menyerah diri kepada polis pada 1 Jun lalu.
Polis menemui Vegad terbaring mati di atas kerusi di ruang tamu rumah dengan luka tikaman di bahagian belakang badannya selain beberapa kesan calar pisau di perabot tersebut.
Insiden pembunuhan itu berlaku di sebuah pangsapuri di Eden Street di Coventry pada 23 April tahun lalu.
Chibnall menafikan membunuh rakan serumahnya secara sengaja namun Mahkamah Coventry Crown menyabitkan lelaki itu dengan pertuduhan membunuh ketika perbicaraan kelmarin.
Lelaki itu dikenakan penjara seumur hidup dan hanya boleh dipertimbangkan untuk parol selepas menjalani hukumannya selama 18 tahun.
Chibnall mendakwa dia hanya mengacukan pisau ke arah kerusi Vegad sedang duduk untuk mendapat perhatiannya disebabkan tingkah laku mangsa yang tidak stabil.
Namun, para juri menolak dakwaannya selepas pendakwa raya berjaya membuktikan Chibnall berniat membunuh atau mencederakan mangsanya secara serius.
Dalam pada itu, Inspektor Hannah Whitehouse dari Unit Siasatan Jenayah West Midlands berkata, pihaknya dapat membuktikan Chibnall melakukan perbuatan demikian dan kini dia menghadapi hukuman seumur hidup kerana membunuh.