BANGKOK: Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thailand (CCSA) semalam meluluskan acara sambutan ambang Tahun Baharu dengan menetapkan penganjurannya perlu mematuhi protokol Covid-19.
Lapor Bangkok Post, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan yang juga Pengarah CCSA, Natthapon Nakpanic, berkata penganjur perlu melaksanakan semua pendekatan kesihatan awam dalam memerangi COVID-19 yang merangkumi pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan.
Thailand masih lagi mencatatkan peningkatan kes baharu susulan kepulangan rakyatnya dari bandar Tachilek, Myanmar, lapor agensi berita Xinhua.
Dalam perkembangan lain, Natthapon berkata, CCSA akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Awam pada awal Januari ini bagi membincangkan mengenai sistem pengujian baharu COVID-19 bagi hari pertama, hari ke-10 dan hari ke-14 dalam tempoh kuarantin untuk membolehkan keputusan ujian yang lebih tepat.
Katanya, panel CCSA akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar bagi membincangkan mengenai usaha untuk melonggarkan sekatan kemasukan rakyat asing ke negara ini termasuk berkaitan urusan visa.
Minggu lalu, CCSA melaporkan lima kes membabitkan rakyatnya yang pulang secara haram selain satu kes membabitkan warga tempatan.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul cuba mengurangkan kebimbangan gelombang kedua jangkitan dengan mengatakan mereka yang memasuki secara haram akan dikenakan tindakan selain menyatakan tidak perlu perintah berkurung kerana keadaan kini terkawal.
Jangkitan kumulatif jangkitan COVID-19 di Thailand adalah sebanyak 4,107 kes dengan 3,868 sudah pulih dan 179 lagi sedang dirawat di hospital manakala jumlah kematian kekal 60 orang.