LONDON: Seorang wanita dan anak perempuannya bernasib baik kerana terselamat selepas sebutir bom tangan Perang Dunia Kedua berusia 80 tahun, terbakar di sinki dapur rumah mereka.
Lapor Daily Mail, Jodie Crews, 38, dan anaknya, Isabella, 8, dari Deal di Kent, England pada mulanya menyangka bom tangan yang ditemukan di pantai Sandown dan disimpan di dapur rumah mereka adalah fosil atau serpihan tulang lama.
“Saya muat naik gambar itu di laman fosil dan arkeologi serta menerima banyak maklum balas mengenainya tetapi tiada sesiapa yang memberitahu ia mungkin bom tangan.
“Ada seorang wanita menganggap objek itu adalah hasil muntah ikan paus dan menyuruh saya mencucuknya dengan pin panas bagi melihat kesahihannya dan memaklumkan jika benar, asap putih akan keluar,” katanya.
Namun, Crews dan Isabella terkejut apabila bom tangan itu secara tiba-tiba terbakar di ruang makan di kediaman mereka.
“Ia berubah menjadi bola api. Anak saya menjerit sambil berlari keluar dari pintu belakang. Saya mengambil bom tangan itu dan bergegas lari ke dapur dan melemparkannya ke dalam sinki.
“Saya kemudian naik ke tingkat atas untuk membawa tuala basah bagi meletakkannya di atas bom tersebut. Ketika itu, saya hanya terfikir untuk menyelamatkan anak perempuan saya, rumah dan haiwan peliharaan,” ujarnya.
Jelas Crews, jirannya turut bergegas menolong mereka termasuk menghubungi bomba.
Sementara itu, Crews percaya bom tangan itu mungkin dihanyutkan oleh ribut atau air pasang baru-baru ini.