Tepatkah keputusan Britain? - Utusan Malaysia

Tepatkah keputusan Britain?

KEPUTUSAN Britain yang meluluskan penggunaan vaksin Pfizer mencetuskan pelbagai reaksi daripada banyak pihak. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Keputusan kerajaan Britain yang meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 keluaran syarikat Pfizer dan BioNTech semalam menyaksikan negara itu mendahului Amerika Syarikat (AS).

Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) Britain meluluskan penggunaan vaksin tersebut 23 hari selepas Pfizer mengumumkan vaksin keluarannya mempunyai tahap keberkesanan 95 peratus.

Perdana Menteri Boris Johnson menyifatkan lampu hijau dari pihak berkuasa kesihatan Britain itu sebagai ‘kemenangan global dan sinar harapan’ untuk mencegah ancaman Covid-19 yang ketika ini sudah meragut kira-kira 1.5 juta nyawa di seluruh dunia.

“Berita yang sangat hebat untuk semua rakyat Britain. Namun, pada peringkat ini kita tidak boleh terlalu berharap kerana segala kemungkinan boleh berlaku,” kata Johnson dalam sidang Parlimen.

Ketika ini, AS dan Kesatuan Eropah (EU) masih belum mendapat kelulusan penggunaan vaksin Covid-19.

 

EU kritik keputusan Britain

Keputusan mengejutkan dari Britain mencetuskan kritikan dari EU yang menyifatkan prosedur yang mereka lakukan bagi menilai kelulusan penggunaan vaksin Covid-19 adalah lebih teliti dan tidak terburu-buru.

Agensi Perubatan Eropah (EMA) memaklumkan proses kelulusan yang memgambil tempoh panjang adalah lebih wajar kerana meneliti lebih banyak bukti serta keperluan berkaitan.

EMA menyatakan pihaknya akan menentukan sama ada vaksin tersebut boleh digunakan atau tidak pada 29 Disember ini.

 

Britain pertahan keputusan

Ketua MHRA, June Raine mempertahankan keputusan tersebut dengan menegaskan pihaknya sudah mengambil kira semua aspek sebelum meluluskan penggunaan vaksin Pfizer.

“MHRA menjalankan semua prosedur mengikut tahap piawaian antarabangsa. Tiada jalan pintas diambil.

“Perkembangan yang kami sampaikan kepada umum adalah berdasarkan kepada data yang diperoleh menerusi kaji selidik menyeluruh serta nasihat pihak berkaitan,” ujarnya.

 

Pfizer tidak mahu ‘berlumba’

Eksekutif Pfizer, Ralf Rene Reinert berkata, beberapa negara lain akan mencontohi Britain yang meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 dalam kadar segera, selaras dengan situasi pandemik ketika ini.

“Saya tidak anggap kelulusan vaksin ini sebagai satu perlumbaan. Memang tak dinafikan United Kingdom (UK) kini dihadapan berbanding negara lain,” jelasnya.

 

Rusia umum penduduk divaksin minggu depan

Beberapa jam selepas Britain membuat pengumuman mengenai kelulusan penggunaan vaksin Covid-19, Presiden Rusia, Vladimir mengarahkan supaya pihak berkuasa negara itu memulakan proses vaksinasi terhadap rakyatnya dalam skala besar-besaran.

Putin memberitahu, Rusia kini dalam proses menghasilkan kira-kira dua juta dos vaksin keluaran sendiri yang diberi nama Sputnik V dan dijangka selesai sepenuhnya dalam minggu ini.

 

Dapat sokongan

Andrew Hill dari Jabatan Farmakologi di Universiti Liverpool menyatakan manfaat kelulusan vaksin secara awal boleh mengurangkan kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

Dengan 450 orang mati akibat jangkitan Covid-19 setiap hari di UK, keputusan (kelulusan vaksin) itu adalah yang terbaik,” katanya.

 

Mula minggu depan

Britain dijangka memulakan proses vaksinasi terhadap golongan paling berisiko pada minggu depan selepas mendapatkan sebanyak 800,000 dos vaksin Pfizer dari Belgium.

Negara ini sudah menempah sebanyak 40 juta dos vaksin tersebut dan dianggarkan cukup untuk kira-kira kurang satu per tiga populasi. – AFP/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya