JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyifatkan suntikan vaksin Covid-19 tidak menyakitkan malah seperti digigit semut bagi menyakinkan rakyat untuk tidak menolak vaksin berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua penduduk agar tidak berasa takut untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut.
Lapor Kompas.com, menurut Jokowi, proses vaksinasi Covid-19 sama seperti program suntikan vaksin lain yang pernah dijalani oleh penduduk sebelum ini.
“Semua orang pernah melakukan vaksinasi ini, misalnya jika seorang kanak-kanak kecil disuntik, ia seperti digigit semut sahaja, tak sakit,” katanya menerusi siaran langsung berhubung bantuan modal kerja (BMK).
Jelas Jokowi, kira-kira 67 hingga 70 peratus populasi Indonesia atau hampir 182 juta penduduk yang disasarkan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
Katanya, jumlah itu mengambil kira sasaran untuk mencapai kekebalan imuniti dalam kalangan masyarakat untuk menangani penularan wabak tersebut.
Jokowi juga berharap agar rakyat tidak menolak suntikan vaksin Covid-19.
Beliau memberitahu proses pembelian vaksin Sinovac juga membabitkan penglibatan Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Kementerian Agama secara langsung.
“MUI dan Kementerian Agama mengikut sehingga tempat penghasilan vaksin agar mereka akan mengeluarkan mengenai halal vaksin itu,” katanya.
Dalam pada itu, Jokowi menegaskan beliau sedia untuk menjadi penerima pertama vaksin Covid-19 di negara ini.
Katanya, tindakan itu bagi membuktikan keselamatan vaksin selepas disuntik kepada manusia.