Saya minta maaf - Jacinda Ardern - Utusan Malaysia

Saya minta maaf – Jacinda Ardern

TRAGEDI berdarah yang berlaku pada Mac 2019 menyaksikan 51 penduduk Islam New Zealand menjadi mangsa serangan pengganas kulit putih. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Pasukan keselamatan New Zealand gagal menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap ancaman serangan keganasan daripada golongan berhaluan kanan.

Sebaliknya, pihak berkuasa negara ini hanya menumpukan perhatian terhadap plot serangan keganasan daripada kumpulan radikal Islam.

Perkara itu didedahkan dalam laporan insiden tembakan rambang di dua buah masjid di Christchurch yang berlaku pada 15 Mac tahun lalu.

Selain itu, pasukan keselamatan negara ini dikatakan mampu menghentikan serangan tersebut hanya secara ‘kebetulan’ dan bukannya menerusi perancangan awal. 

Laporan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja setebal 800 muka surat itu menyebut agensi perisikan New Zealand ‘terikat dengan persepsi tentang serangan kumpulan radikal Islam’ sehingga tidak mempunyai gambaran mengenai ancaman keganasan dari pihak lain, termasuk pengganas kulit putih.

Pihak berkuasa negara ini juga didakwa tidak mempunyai maklumat mencukupi tentang ancaman keganasan dari kumpulan berhaluan kanan kerana beranggapan kebanyakan insiden keganasan yang berlaku di dunia ketika ini adalah berpunca dari kumpulan radikal Islam.

Malahan, pasukan polis New Zealand gagal mengenal pasti maklumat tertuduh, Brenton Tarrant secara terperinci dan segera sebelum tragedi tembakan itu berlaku.

“Tidak ada cara masuk akal untuk Tarrant dikenal pasti melainkan hanya secara kebetulan,” jelas laporan itu yang menyaksikan pengganas kulit putih terbabit menyasarkan penduduk beragama Islam termasuk wanita dan kanak-kanak yang menghadiri solat Jumaat di Christchurch.

Tragedi yang berlaku di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood itu meragut 51 nyawa termasuk kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

Kejadian itu mendapat liputan meluas global memandangkan New Zealand merupakan satu daripada negara yang dikategorikan paling selamat dengan kadar jenayah paling sedikit di dunia.

JACINDA ARDERN

Sehubungan itu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern memohon maaf atas keculasan yang berlaku dan beliau berikrar untuk meneliti kesemua 44 cadangan yang diusulkan dalam laporan tersebut.

Katanya, kritikan terhadap sistem perundangan senjata api yang lemah di negara ini sehingga membolehkan Tarrant ‘membeli sebanyak mungkin raifal semi automatik’ sudah pun kerajaan tangani.

“Pihak berkuasa negara ini mungkin gagal meneliti ancaman keganasan secara menyeluruh, namun itu tidak bermakna serangan pada Mac lalu juga dapat dielakkan. Saya minta maaf atas apa yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Tarrant, 30, menjadi individu pertama di New Zealand yang dipenjara seumur hidup tanpa kemungkinan mendapat parol pada Ogos lalu.

Lelaki itu mengaku bersalah melakukan serangan keganasan, membunuh 51 penduduk awam dan melakukan 40 cubaan membunuh.

Laporan itu sepatutnya dikeluarkan pada Disember tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan berikutan pertambahan jumlah saksi dan pandemik Covid-19.

Suruhanjaya diraja itu diketuai oleh hakim Mahkamah Agung New Zealand, William Young dan bekas diplomat Jacqui Caine.

Lebih 400 orang ditemu bual berhubung insiden tersebut dan suruhanjaya terbabit juga menerima kira-kira 1,100 aduan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya