BANGKOK: Perintah berkurung yang dilaksanakan di Samut Sakhon akibat lonjakan dalam kes jangkitan baharu Covid-19 bakal menyaksikan wilayah ini merekodkan kerugian ekonomi sebanyak satu bilion baht (RM134.8 juta).
Lapor Bangkok Post, Ketua Dewan Perniagaan Samut Sakhon, Amphai Harnkraiwilai berkata, industri makanan laut di wilayah itu mampu memperoleh jualan mencecah 400 ke 500 juta baht (RM53 hingga RM67 juta) sehari, namun kini terpaksa ditutup akibat perintah berkurung.
“Ini boleh menyebabkan anggaran kerugian ekonomi kira-kira satu bilion baht sehari,” katanya.
Amphai bagaimanapun berkata, kerugian besar hanya melibatkan perniagaan yang menggaji pekerja asing manakala perniagaan tidak menggunakan tenaga pekerja asing pula mengalami kesan minimum.
Bank swasta dan kerajaan turut mengumumkan penutupan cawangan masing-masing di Samut Sakhon disebabkan perintah berkurung yang berkuat kuasa Sabtu lalu sehingga 3 Januari depan.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Suruhanjaya Pendidikan Asas (Obec) Amporn Pinasa berkata, beliau telah mengarahkan penutupan sekolah dibawah bidang pengawasan Obec di Samut Sakhon dan meminta pegawai suruhanjaya untuk bekerja dari rumah.
“Obec akan menilai keadaan semasa berdasarkan pengumuman daripada Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA).
“Semua sekolah telah diarahkan untuk mematuhi peraturan keselamatan kesihatan daripada kementerian kesihatan,” katanya.