NAIROBI: Seorang wanita memfailkan saman terhadap kekasihnya kerana lelaki itu enggan mengahwininya selepas menjalin hubungan cinta selama lapan tahun.
Gertrude Ngoma, 26, memberitahu Mahkamah Zambia, Afrika, dia berasa ‘terlalu penat’ menunggu untuk berkahwin dengan kekasihnya, Herbert Salaliki, 28.
Ngoma juga memberitahu mahkamah dia meragui kesetiaan pasangannya dan menuduh lelaki itu mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Katanya, teman lelakinya berjanji untuk berkahwin dengannya namun kini dia tidak dilamar dan tiada sebarang usaha untuk mereka berkahwin.
Di Zambia, seorang suami perlu membayar mas kahwin kepada keluarga pengantin perempuan.
Kewajipan itu dinamakan ‘lobola’ atau bayaran penghargaan yang bertujuan sebagai jaminan lelaki itu akan menjaga isterinya dengan baik.
Jelas Ngoma, lelaki itu sudah membuat pembayaran lobola namun langsung tiada sebarang usaha untuk mengikat tali perkahwinan dengan kekasihnya.
“Dia tidak menunjukkan keseriusan dan sebab itu saya bawa ke mahkamah kerana saya berhak tahu masa depan saya,” katanya.
Dalam sesi pembelaan, Salaliki memberitahu mahkamah dia tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk melangsungkan perkahwinan. – AGENSI