MOSCOW: Rusia mengakui kes kematian akibat Covid-19 di negara ini adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding yang pernah dilaporkan sebelum ini, menjadikannya sebagai negara ketiga di dunia paling teruk terjejas akibat pandemik tersebut.
Selama beberapa bulan, Presiden Rusia, Vladimir Putin ‘cuba merahsiakan keadaan sebenar di negara ini’ dengan memaklumkan kes kematian yang direkodkan adalah rendah.
Selain itu, Putin juga mengakui pengurusan pencegahan Covid-19 di negara ini adalah lebih baik berbanding yang dilakukan di negara Barat termasuk Amerika Syarikat (AS).
Agensi statistik Rosstat menyatakan jumlah kematian akibat pelbagai sebab yang direkodkan antara Januari hingga November ini meningkat sehingga 229,700 berbanding tahun lalu.
“Lebih 81 peratus daripada kenaikan jumlah kematian ini disebabkan oleh Covid-18, menyaksikan lebih 186,000 penduduk Rusia maut akibat koronavirus,” kata Timbalan Perdana Menteri Rusia, Tatiana Golikova.
Namun, kerajaan Rusia sebelum ini hanya melaporkan sebanyak 55,265 kematian, selain dikritik hebat kerana hanya mengumumkan kematian akibat Covid-19 selepas disahkan menerusi proses bedah siasat.
Ahli demografi yang pernah bertugas di Rosstat, Alexei Raksha memaklumkan Kementerian Kesihatan Rusia sengaja memalsukan kes kematian akibat Covid-19 di negara ini. – AFP