NEW DELHI: Kajian yang dilakukan oleh Organisasi Kawalan AIDS Kebangsaaan pada 2014 hingga 2015 mendapati sebanyak satu perlima daripada 5,000 transgender mengalami kekejaman seksual dalam tempoh 12 bulan.
Aktivis kumpulan hak asasi trans dan pengasas kumpulan kebajikan trans, Daina Dias,36, berkata, adalah mustahil bagi golongan transgender mendapatkan keadilan kerana undang-undang mengenai jenayah rogol di India hanya mengenal pasti pelaku sebagai lelaki dan mangsa adalah perempuan.
India melaksanakan hukuman lebih berat bagi perogol selepas beberapa siri serangan terhadap golongan wanita dan protes di seluruh negara.
Namun, aktivitis itu berkata, undang-undang itu masih belum mencukupi melindungi jantina lain.
Kesalahan terhadap golongan transgender boleh dihukum mengikut Akta Transgender (Hak Perlindungan) 2019.
Sebagai contoh, hukuman fizikal dan penderaan seksual terhadap golongan transgender adalah minimum enam bulan dan maksimum dua tahun penjara dengan denda.
Bagaimanapun, sekiranya seorang lelaki didapati bersalah merogol wanita akan dikenakan hukuman minimum 10 tahun penjara dan boleh menerima hukuman seumur hidup.
Malah, hukuman mati boleh dijatuhkan sekiranya kes melibatkan wanita ditinggalkan dalam keadaan tidak sedarkan diri, pesalah berulang atau pemerkosaan gadis di bawah usia 12 tahun.
Menurut Daina, hukuman lebih ringan menyebabkan golongan transgender lebih terdedah kepada serangan sekali gus memberikan mesej moral kepada masyarakat bahawa kehidupan mereka tidak dilindungi.
Oktober lalu, Mahkamah Agung India mendengar petisyen yang meminta hukuman setara untuk jenayah seksual termasuk rogol, serangan dan gangguan terhadap mangsa transgender.
Mahkamah sama meminta tanggapan atas petisyen daripada Kementerian Hukum dan Keadilan India serta Kementerian Keadilan dan Pemerkasaan Sosial, tetapi pemerintah belum memberikan maklum balas.