KAHERAH: Majoriti di sembilan buah negara di Teluk Arab menyatakan penduduknya kini hidup dalam situasi lebih tertekan dan ‘berat sebelah’ berbanding era Arab Spring sebelum ini.
Menurut kaji selidik yang dilakukan oleh Guardian-YouGov, hampir setiap negara Arab bersetuju bahawa tahap kehidupan mereka sudah merosot sejak 2010.
Arab Spring bermula selepas seorang penjual buah di Tunisia, Mohamed Bouazizi membakar dirinya pada 17 Disember 2010 kerana kecewa barangan niaganya dirampas pihak berkuasa tempatan, selain dipukul sebelum dia meninggal dunia pada 5 Januari 2011.
Berikutan itu, siri tunjuk perasaan membantah tindakan pihak berkuasa tempatan mula tercetus di seluruh Tunisia sebelum merebak ke negara Arab lain.
Keadaan bergolak di dunia Arab berlanjutan sehingga 2019 yang menyaksikan pentadbiran diktator Presiden Sudan, Omar al-Bashir digulingkan.
Kaji selidik yang dilakukan terhadap 5,275 responden melibatkan pelbagai peringkat umur dan jantina itu menunjukkan perasaan putus asa dan ketidaksetiaan yang mendorong kepada pergolakan di Asia Barat semakin meningkat.
Keadaan makin teruk
Perasaan putus asa itu semakin memuncak dengan Syria merekodkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 75 peratus responden bersetuju kehidupan mereka lebih teruk berbanding sebelum ini.
Kedudukan itu diikuti Yemen 73 peratus dan Libya, 60 peratus yang menyaksikan protes jalanan membuka ruang kepada tercetusnya perang saudara dan campur tangan luar.
Kurang daripada separuh responden di Mesir, Iraq dan Algeria memaklumkan mereka kecewa dengan kehidupan sekarang berbanding 2010, namun kurang daripada suku penduduk di ketiga-tiga negara itu menyatakan mereka mempunyai tahap hidup yang lebih baik.
Jurang generasi
Penduduk Algeria yang berusia antara 18 dan 24 tahun berserta ‘rakan seperjuangan’ mereka di Tunisia, Mesir dan Iraq menyatakan mereka kesal dengan siri tunjuk perasaan dan gerakan revolusi yang diadakan ketika Arab Spring.
Golongan ibu bapa juga kecewa dengan apa yang berlaku sebelum ini, sekali gus melahirkan kebimbangan mengenai masa depan anak-anak mereka yang dijangka lebih buruk berbanding era Arab Spring.
Demokrasi yang tidak ‘menggembirakan’
Biarpun hanya Tunisia yang berjaya melakukan perubahan kerajaan daripada pemerintahan diktator kepada demokratik, keadaan itu masih belum cukup untuk ‘menggembirakan rakyatnya’.
Sebanyak 27 peratus responden di negara itu mengakui kehidupan mereka lebih baik sejak revolusi berlaku, namun keadaan ekonomi yang tidak stabil serta kadar pengangguran tinggi dan diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19, kejayaan yang dicapai seolah-olah ‘sia-sia’.
Kontrak sosial masih rapuh
Kaji selidik itu juga menunjukkan persepsi mengenai kontrak sosial semakin mendalam sejak 201o, sekali gus memicu ketisaksamarataan.
Sebanyak 92 peratus penduduk Syria bersetuju dengan perkara tersebut, diikuti Yemen 87 peratus dan Tunisia 84 peratus.
Hampir separuh penduduk Mesir berasa hak mereka untuk bebas bersuara semakin dipinggirkan berbanding era pentadbiran Hosni Mubarak.
Mesir yang berbelah bahagi
Mesir mempunyai penduduk paling padat di antara negara Arab yang lain dan kebanyakannya menyatakan mereka tidak pasti jika revolusi Arab Spring boleh memberikan masa depan yang lebih baik.
Perkara itu boleh dibuktikan dengan revolusi Januari 2011 menyaksikan Hosni digulingkan, diganti dengan pentadbiran Ikhwanul Muslimin dan kemudiannya pemerintahan presiden junta tentera, Abdel Fatal al-Sisi.
Penduduk Mesir tidak pasti jika mereka sebenarnya menyokong pemberontakan, selain menyesali menjatuhkan Hosni. – AGENSI