PORTLAND: Seorang lelaki di Oregon menembak mati remaja kulit hitam berusia 19 tahun akibat berang dengan pemuda itu yang memasang lagu dengan kuat di tempat letak kenderaan di sebuah rumah penginapan pada minggu lalu.
Lapor CNN, polis memaklumkan Robert Paul Keegan, 47, menembak Aidan Ellison di Stratford Inn di Ashland selepas kedua-dua individu itu terlibat dalam satu pertengkaran.
Ketua Polis Ashland, Tighe O’Meara berkata, ketika pertengkaran berlaku kira-kira 4.20 pagi waktu tempatan, Keegan mengeluarkan sepucuk pistol dari kotnya dan melepaskan tembakan ke arah dada Ellison.
Remaja itu kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Keegan harus dipersalahkan sepenuhnya atas kejadian itu. Dia 100 peratus bertanggungjawab berhubung tindakan itu.
“Dia yang memilih untuk menggunakan pistol dalam situasi tersebut,” kata O’Meara.
Keegan dibicarakan pada 24 November lalu dan didakwa atas beberapa tuduhan termasuk pembunuhan tahap kedua, pembunuhan tahap pertama, memiliki senjata api tanpa sah dan membahayakan nyawa orang lain secara melulu.
Dia mengaku tidak bersalah terhadap empat tuduhan itu pada Jumaat lalu.
Keegan kini ditahan di Penjara Jackson County tanpa diberi jaminan dan akan hadir ke mahkamah pada 21 Februari tahun depan.