LONDON: Dron pelancar satelit pertama dunia yang dibangunkan oleh sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS) iaitu Aevum mampu membawa muatan ke orbit dalam tempoh 180 minit.
Lapor Daily Mail, dron sepanjang 24 meter yang dinamakan Ravn X itu boleh dipandu sendiri sepenuhnya, 70 peratus boleh diguna pakai semula serta mampu berlepas dan mendarat di landasan pendek sepanjang 1.6 kilometer.
Syarikat itu bekerjasama dengan US Space Force kini giat melengkapkan semula akses ke ruang angkasa dengan memberi tumpuan kepada bahagian autonomi serta logistik.
Ravn X boleh berlepas dari mana-mana landasan untuk membawa roket ke orbit Bumi sebelum kembali semula ke landasan dan mendarat di tempat yang disediakan.
Ravn X dijangka digunakan untuk melancarkan satelit kecil ASLON-45 milik US Space Force pada tahun depan.
Dalam pada itu, Aevum menyatakan kecanggihan yang dimiliki oleh dron tersebut secara tidak langsung boleh mengurangkan risiko terhadap nyawa manusia kerana ia boleh berfungsi tanpa juruterbang.
Dron yang dianggarkan sebesar dua buah bas sekolah itu boleh membawa satelit seberat 500 kilogram tanpa melibatkan kos infrastruktur.