LONDON: Para penyelidik mendapati hampir satu bilion buku roti dihasilkan di dapur domestik dalam tempoh enam bulan pertama selepas sekatan perintah berkurung Covid-19 dilaksanakan di Britain.
Lapor Daily Mail, kajian dilakukan oleh syarikat Lakeland terhadap peningkatan jualan tepung, yis, peralatan membuat kek serta tinjauan pelanggan mendedahkan sebanyak 960 juta buku roti dihasilkan di rumah antara tempoh Mac dan September.
Jumlah tersebut menunjukkan nisbah purata lebih satu buku roti dihasilkan seminggu bagi setiap 27.6 juta isi rumah di Britain.
Lebih satu pertiga orang dewasa memberitahu mereka mula menghasilkan roti sendiri, dengan hampir separuh daripada golongan itu berusia antara 25 hingga 34 tahun.
Secara purata, setiap pembuat roti amatur menghasilkan dua buku roti seminggu namun 15 peratus penduduk memaklumkan mereka mampu membuat sehingga empat atau lebih.
Jualan tepung di kedai menyaksikan pertambahan hampir dua kali ganda pada minggu pertama perintah berkurung dan statistik baharu menunjukkan pasaran peralatan membuat roti serta yis meningkat sehingga 130 peratus selama enam bulan.
Lakeland turut mendapati sebanyak 44 peratus pembuat roti dan kek memilih untuk menguli dan membentuk roti dengan tangan, sementara 19 peratus menggunakan pembuat roti dan yang lain menggunakan mesin pengadun tepung.