LONDON: Seorang penyulam yang terlibat dalam menghasilkan gaun pengantin Duchess of Cambridge, Kate Middleton dan Duchess of Sussex, Meghan Markle kini dihimpit kesusahan dan mungkin kehilangan tempat tinggal selepas gagal mendapat bantuan kerajaan.
Lapor Mirror, Chloe Savage yang juga pernah menghasilkan kostum untuk rangkaian filem Harry Potter mendakwa dia tidak menerima bantuan kewangan ketika krisis pandemik Covid-19.
Savage, 43, memberitahu Sunday Times bahawa dia terpaksa memberhentikan pekerjanya dan menutup premis peniagaan akibat pandemik Covid-19.
“Anak perempuan saya mengikat perut dengan mengelak makan waktu tengahari dan `supper’ kerana ingin jimatkan duit saya,” katanya.
Jelas Savage, dia kini menghadapi kesukaran untuk membesarkan dua anaknya selepas permohonan bantuan kewangan, Universal Credit ditolak selama empat kali.
Menurut kumpulan kempen Excluded, tiga juta rakyat di United Kingdom (UK) masih belum menerima sebarang bantuan kewangan semasa pandemik berlaku.
Dalam pada itu, Savage memberitahu, dia hanya mampu bayar sewa premis untuk tempoh sebulan sahaja lagi kerana tidak meraih sebarang keuntungan dalam perniagaannya.
Wanita itu kini bekerja dengan ibunya selepas terpaksa menutup premis perniagaannya di Bristol.