NEW DELHI: Sekurang-kurangnya seorang penduduk meninggal dunia dan 227 lagi dimasukkan ke hospital akibat diserang penyakit misteri di Andhra Pradesh, selatan India.
Lapor BBC, pihak berkuasa di India masih sedang menyiasat punca penyakit yang belum dikenal pasti itu.
Menurut doktor, para pesakit dari Eluru mempunyai pelbagai gejala daripada berasa mual sehingga tidak sedarkan diri.
Penyakit itu tercetus ketika India masih lagi bergelut dengan wabak Covid-19.
Media tempatan melaporkan semua pesakit itu telah menjalani ujian saringan Covid-19 namun hasil keputusannya negatif.
Seorang pegawai perubatan dari Hospital Kerajaan Eluru memberitahu The Indian Express bahawa pesakit terbabit terutamanya kanak-kanak secara tiba-tiba muntah selepas mengadu mengalami kepedihan mata.
Katanya, sebahagian daripada mereka juga pengsan atau mengalami sawan.
Menurut pihak berkuasa, setakat ini, seramai 70 orang dibenarkan keluar hospital manakala 157 masih menerima rawatan.
Ketua Menteri Andhra Pradesh, Jaganmohan Reddy berkata, pasukan perubatan khas dihantar ke Eluru untuk menyiasat punca penyakit itu.