WASHINGTON: Pengganas kulit putih merancang melakukan serangan di stesen janakuasa di tenggara Amerika Syarikat (AS), menurut FBI yang membuat tuduhan dalam afidavit yang secara tidak sengaja dibongkarkan.
The Guardian melaporkan, remaja dari Ohio didakwa mengongsikan perancangan itu dan mahu kumpulan itu beroperasi segera sekiranya Donald Trump kalah dalam pemilihan semula.
Remaja itu didapati turut berada dalam kumpulan mesej dengan lebih daripada 12 orang tahun lalu, ketika dia memperkenalkan idea menjimatkan wang membeli sebuah kawasan penternakan supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam latihan militan, menurut afidavit yang diajukan bersama permohonan waran carian di Mahkamah Daerah Wisconsin Mac lalu.
Dokumen tersebut secara tidak sengaja dibongkar minggu lalu sebelum kesalahan itu dijumpai dan ditutup segera.
Remaja itu mahu kumpulan tersebut beroperasi menjelang Pilihan Raya 2024 kerana dia percaya kemungkinan Parti Demokrat akan menang, tetapi garis masa untuk beroperasi akan dipercepatkan jika Presiden Trump kalah dalam pemilihan 2020.
Seorang pemberi maklumat memberitahu penyiasat remaja itu ingin menjalankan operasi berteraskan tindakan kekerasan untuk mencapai tujuan politik.
Remaja berusia 17 tahun waktu itu, turut mengongsikan rancangannya dengan kumpulan yang lebih kecil mengenai plot gangguan bekalan elektrik dengan menembak menggunakan rifle ke stesen janakuasa di tenggara AS.
Plot itu dinamakan ‘Light’s Out’ dan terdapat rancangan untuk melaksanakannya pada musim panas 2021.