SEOUL: Perogol paling terkenal di Korea Selatan, Cho Doo-soon, 68, dibebaskan hari ini selepas menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.
Lapor The New York Times, berita pembebasan itu menimbulkan kemarahan penunjuk perasaan dan ancaman mati sehingga menyebabkan pihak polis terpaksa menambah bilangan anggota di luar rumah bekas banduan itu.
Penunjuk perasaan berkumpul di luar penjara di selatan Seoul dan menjerit ‘Hantar dia ke neraka!’ dan ‘Kembirikan dia’.
Cho ditahan pada 2008 berhubung kesalahan merogol kanak-kanak berusia lapan tahun dan namanya dikenali sebagai pelaku seks yang menggunakan sarung tangan di mahkamah negara itu.
Ketika perogol itu dibebaskan pada awal pagi hari ini, orang ramai masih berasa marah.
“Negara apakah ini yang melindungi perogol?” jerit peserta demonstrasi.
Beberapa penunjuk perasaan berbaring di atas jalan raya sambil memegang sepanduk dan menjerit slogan dalam percubaan menghalang Cho daripada meninggalkan penjara itu.
Pihak polis berusaha menyuraikan kehadiran orang ramai dengan meletakkan penghadang bagi memberikan laluan kepada van yang membawa bekas banduan itu.
Penunjuk perasaan cuba menendang van tersebut dan membaling telur.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, Cho turut menerima ugutan bunuh secara dalam talian sehingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengerahkan lebih ramai anggotanya dan meletakkan kamera pengawasan di sekeliling rumahnya.