BERLIN: Sebuah akademi tarian balet terkenal di Jerman, Staatsballet menerima kritikan hebat selepas didakwa mengarahkan seorang penari berkulit hitam mencerahkan tona kulit badannya untuk menyertai satu persembahan.
Lapor Daily Mail, Chloé Lopes Gomes, 29, menjadi penari wanita berkulit hitam pertama dalam sejarah Staatsballet selepas menyertai akademi Berlin itu pada 2018.
Penari balet berasal dari Perancis itu memberitahu kepada The Guardian bahawa dia menjadi sasaran diskriminasi kaum.
Akademi itu dalam satu kenyataan memaklumkan, satu siasatan akan dijalankan berhubung gaya persembahan tarian yang lapuk dan berunsur diskriminasi.
Gomes mendakwa seorang pengajar tarian sering mengejeknya di kelas dan mengarahkannya untuk memakai solekan untuk memutihkan kulit badannya agar kelihatan sama dengan penari lain ketika persembahan Swan Lake.
Pada majlis berlainan pula, pengajar yang sama enggan memberi tudung putih kepadanya untuk dipakai dalam persembahan tarian balet abad ke-19, La Bayadère hanya kerana memiliki kulit berwarna gelap, dakwa Gomes.
Gomes dilatih di sebuah akademi terkenal di Rusia, Bolshoi Ballet dan tidak boleh bertutur dalam bahasa Jerman ketika menyertai Staatsballet.
Menurutnya, dia pernah mengadu kepada pengarah seni akademi berkenaan mengenai tingkah laku guru tersebut namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana sudah menandatangani kontrak seumur hidup.
Gomes juga memberitahu kontraknya tidak akan diperbaharui atas alasan akademi tersebut mahu mengurangkan kakitangannya disebabkan pandemik Covid-19.