AUCKLAND: Seorang wanita terkejut apabila mendapati pemberat kertas yang dimilikinya sejak lima tahun lalu sebenarnya merupakan bekas simpan abu mayat.
Lapor Mirror, kisah Jessica Roberts dari Wellington, New Zealand itu menjadi tular di laman media sosial.
Menurut Roberts, pada mulanya, anak lelakinya, Braiden menemui sebuah barang berbentuk hati yang disangka pemberat kertas dan meminta untuk membeli di satu jualan garaj.
Roberts pula bersetuju membelikannya kerana barang itu hanya berharga AS$1 (RM4.06).
Sejak itu, Roberts menyimpan pemberat kertas tersebut sehingga dia menyedari objek tersebut bukan seperti yang disangka selepas menemukan barangan serupa dalam laman web Amazon.
“Sekarang saya tidak tahu apa yang harus dilakukan. Adakah perlu membuka bekas itu atau membuangnya? Saya tidak pernah menjangkakan perkara ini,” katanya.
Roberts kemudian menjelaskan terdapat abu mayat dalam bekas tersebut dan memuat naik gambar bekas itu dalam media sosial dengan harapan dapat menemukan pemiliknya.
Selepas akhbar tempatan menyiarkan kisah tersebut, Roberts dihubungi oleh seorang lelaki yang mendakwa bekas itu milik isterinya dan abu mayat itu adalah bapa mertuanya.
Lelaki itu mendakwa, bekas abu mayat itu hilang sejak beberapa tahun lalu selepas seorang rakan merampas semua barangan isterinya.