Peluang mati dengan ditembak, gas beracun dan suntikan maut - Utusan Malaysia

Peluang mati dengan ditembak, gas beracun dan suntikan maut

SUNTIKAN maut merupakan kaedah utama digunakan untuk menghukum pesalah yang dijatuhkan hukuman mati. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mula menggunakan kaedah ‘suntikan maut’ untuk menghukum pesalah yang dijatuhkan hukuman mati sejak 1977.

Texas pula menjadi negeri pertama di AS serta dunia yang menggunakan kaedah tersebut bagi menghukum Charles Brooks Jr yang didapati bersalah kerana membunuh pada 7 Disember 1982.

Namun, kedua-dua kaedah hukuman tersebut mungkin tidak lagi menjadi ‘pilihan’ untuk pihak berkuasa di negara ini untuk menghukum mereka yang bersalah.

Hal ini kerana, pentadbiran Presiden Donald Trump ‘membuka jalan’ untuk memperkenalkan kaedah hukuman mati baharu terhadap pesalah.

Jabatan Kehakiman AS secara senyap meminda protokol hukuman mati yang menyaksikan pesalah tidak lagi hanya dihukum dengan suntikan maut, malah ‘berpeluang merasai mati’ menerusi tembakan dan gas beracun.

Protokol yang diubah tersebut didedahkan pada minggu lalu di Pendaftaran Persekutuan yang membenarkan kerajaan AS menjalankan hukuman mati menggunakan suntikan maut atau ‘mana-mana kaedah lain yang dibenarkan oleh undang-undang di setiap negeri’.

Terdapat sejumlah negeri yang bersetuju untuk melaksanakan hukuman mati menggunakan kaedah selain suntikan maut termasuk renjatan elektrik, menghidu gas nitrogen atau ditembak mati oleh pasukan penembak.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada Jabatan Kehakiman akan menggunakan kaedah lain bagi melaksanakan hukuman mati selain suntikan maut pada masa depan.

Protokol baharu yang bakal berkuat kuasa pada 24 Disember itu diwujudkan selepas Jabatan Kehakiman sudah menjadualkan lima hukuman mati, termasuk tiga daripadanya yang akan dijalankan beberapa hari sebelum bakal Presiden AS baharu, Joe Biden angkat sumpah pada 20 Januari 2021.

Pegawai Jabatan Kehakiman menyatakan dua hukuman mati yang dijadualkan dalam bulan ini bakal menggunakan kaedah suntikan maut, namun tidak mendedahkan mengenai tiga lagi hukuman yang akan dilaksanakan pada Januari depan.

 

Cetus kritikan pelbagai pihak

Selain itu, perubahan protokol kaedah hukuman tersebut dijangka mencetuskan pelbagai kritikan dari Parti Demokratik dan kumpulan penasihat anti hukuman mati.

Pentadbiran Trump pula dilihat sedaya upaya untuk membuat sebanyak mungkin perubahan dalam sistem negara sebelum pemimpin itu berundur dari White House.

 

Biden tolak hukuman mati

Jurucakap Biden pada awal bulan ini menegaskan bahawa bakal presiden itu ‘menolak sekerasnya hukuman mati, tidak kira masa kini atau akan datang’, selain akan berjuang untuk ‘menghapuskan’ hukuman tersebut.

Namun, beliau tidak menjelaskan sama ada protokol baharu yang di perkenalkan oleh pentadbiran Trump itu akan dihentikan serta-merta atau sebaliknya selepas Biden mengambil alih tampuk pentadbiran.

 

Hukuman mati dilaksana semula

Sementara itu, Peguam Negara AS, William Barr memulakan semula hukuman mati persekutuan pada tahun ini selepas 17 tahun terhenti.

Dalam tahun ini, Jabatan Kehakiman menjatuhkan hukuman mati lebih banyak terhadap pesalah berbanding setengah dekad lalu, walaupun mendapat tentangan daripada kumpulan sokongan dari Demokrat dan Republikan.

 

Alternatif hukuman mati

Berdasarkan data yang dikumpul oleh pertubuhan bukan kerajaan, Pusat Maklumat Hukuman Mati, kesemua negeri di AS membenarkan penggunaan suntikan maut untuk melaksanakan hukuman mati dan ia merupakan kaedah utama setakat ini.

Namun, kaedah lain juga dibenarkan berdasarkan keperluan serta kekangan di sesebuah negeri.

Pada 2018, Alabama, Oklahoma dan Mississippi meluluskan penggunaan gas nitrogen untuk menghukum mati pesalah.

Selain itu, pesalah juga berhak memilih kaedah hukuman mati yang akan dilaksanakan, sama ada menerusi renjatan elektrik atau digantung hingga mati. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya