WATTRELOS, PERANCIS: Seorang lelaki Perancis, Romain Vandendorpe, 34 berjaya mencipta rekod dunia sebagai individu paling lama berdiri dalam kotak dipenuhi ketulan ais.
Tindakan pekerja kesihatan itu dibuat bagi mengumpul dana untuk membantu kanak-kanak yang menghidap kanser.
Vandendorpe mencipta rekod dunia dengan berdiri dalam keadaan suhu sejuk selama dua jam 35 minit dan 43 saat, iaitu 40 minit lebih lama berbanding rekod terdahulu di bandar Wattrelos, Utara Perancis.
Dia berlatih untuk mengatasi had manusia menerusi teknik neuro kognitif berdasarkan imaginasi dan tumpuan dengan meletakkan dirinya dalam keadaan mengelamun.
Percubaan luar biasa itu pernah dilakukan kira-kira 50 orang.
“Jika kita berlatih sepenuhnya dan memberikan yang terbaik, kita mampu memperoleh hasil serta meningkatkan pencapaian,” ujarnya.
Antara teknik latihannya termasuk duduk di jakuzi sejuk, berlatih di dalam peti sejuk 500 liter dan kemudian dikambus salji di resort ski Chamonix.
Vandendorpe mahu menyumbangkan wang yang diperoleh hasil kejayaannya kepada Persatuan Wonder Augustine di Wattrelos selepas kematian seorang gadis berusia empat tahun, Augustine dua tahun lalu akibat kanser otak.
Dalam pada itu, Ketua Persatuan Wonder Augustine, Steve De Matos berkata, semua orang boleh menyumbang satu euro untuk setiap minit Vandendorpe berdiri dalam ais.
Vandendorpe sempat bertemu Augustine beberapa hari sebelum dia meninggal dunia.