LONDON: Seorang pengumpul koleksi patung watak animasi The Smurf yang terbesar di dunia didakwa atas kesalahan pedofilia.
Lapor The Sun, Robin White, 65, yang juga menggelar dirinya sebagai `Papa Smurf’ mengunjungi kebanyakan sekolah untuk mempamerkan kira-kira 11,500 koleksi patung Smurf dan memorabilia.
Pengumpul patung koleksi itu kini dikenakan hukuman penjara selama 16 tahun selepas didapati bersalah kerana merogol dan menyerang secara seksual seorang remaja perempuan dibawah umur 16 tahun.
White yang mengembara seluruh negara untuk mempamerkan koleksi patungnya dalam van, dikenal pasti sebagai pesalah pedofil selepas mangsa membuat laporan mengenai jenayah tersebut.
Dengan mengemukakan bukti, mangsa yang kini sudah dewasa memberitahu mahkamah bagaimana lelaki tersebut berkelakukan buruk dengan menggunakan mainan seks dan merogolnya di sebuah taman ketika dia masih kecil.
White dari Swadlincote, Derbyshire menafikan enam pertuduhan merogol yang menyebabkan seorang kanak-kanak terlibat dalam aktiviti seksual serta beberapa tuduhan membabitkan serangan tidak senonoh.
Dia didapati bersalah dalam sesi perbicaraan di Mahkamah Derby Crown dan menerima hukuman penjara.
White juga dikenakan perintah pencegahan seksual seumur hidup.
Dalam pada itu, seorang jurucakap Persatuan Kebangsaan Bagi Pencegahan Penganiayaan Terhadap Kanak-Kanak (NSPCC) menyifatkan kes itu sebagai salah satu kejadian mengerikan kesan penderaan seksual terhadap mangsa.
“Ia boleh menjejaskan zaman kehidupan kanak-kanak malah kesannya juga boleh berlanjutan sehingga ke peringkat dewasa,” katanya.