AUSTRALIA: Seorang peluncur yang terselamat daripada serangan jerung putih menyifatkan dia seperti dilanggar sebuah trak ketika diserang haiwan itu.
Lapor Mirror, Dion Lynch, 29, berkata, ketika kejadian dia sedang duduk di atas papan peluncur semasa jerung itu menyerang di Pantai D’Estrees, Pulau Kangaroo, Australia, Ahad lalu.
Dion kekal berada di atas papan peluncurnya dan berenang ke pantai serta berjalan ke tempat letak kereta meminta bantuan walaupun cedera.
Menerusi kenyataan akhbar dalam media Australia, Dion berkata, dia berasa sangat bertuah dan bersyukur selepas serangan itu serta berharap cepat sembuh.
Katanya, jerung itu menggigit di bahagian punggung dan siku sehingga dia terkeluar daripada papan peluncur itu.
“Saya masih memegang papan peluncur itu dan berusaha berenang ke pantai,” katanya.
Walaupun dalam keadaan cedera, Dion masih gagah berjalan ke tempat letak kereta dan menjerit pertolongan daripada peluncur lain.
Peluncur lain membawanya ke Hospital Kingscote dan dibantu pasukan paramedik di pertengahan jalan.
Terdapat lapan serangan maut dilakukan jerung sepanjang tahun ini di Australia dengan rekod paling tinggi dicatatkan pada 1929 dan pakar kebingungan mengenai jumlah jerung yang menjadi semakin banyak.