Negara miskin terus ‘dimamah’ Covid-19 - Utusan Malaysia

Negara miskin terus ‘dimamah’ Covid-19

PETUGAS perubatan memeriksa suhu badan penduduk di pusat kuarantin untuk golongan pelarian di Dakar, Senegal. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Skim penghantaran vaksin Covid-19 global ke negara-negara miskin berdepan dengan dengan risiko tinggi untuk gagal. Keadaan itu sekali gus bakal menyebabkan berbilion penduduk tidak mempunyai akses vaksin sehingga sekurang-kurangnya 2024.

Program vaksin anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diberi nama COVAX adalah skim global utama untuk vaksinasi penduduk di negara miskin dan sederhana di seluruh dunia.

COVAX sasar untuk mengedarkan sekurang-kurangnya dua bilion dos vaksin menjelang 2021 bagi melindungi kira-kira 20 peratus penduduk di 91 negara miskin serta sederhana terutamanya di Afrika, Asia dan Amerika.

Berdasarkan dokumen dalaman yang diteliti oleh Reuters, jurucakap skim tersebut mendedahkan COVAX kini berdepan dengan kekurangan dana, risiko bekalan vaksin dan penyusunan kontrak yang kompleks, sekali gus menjadikannya mustahil untuk mencapai matlamat.

“Risiko kegagalan untuk menyediakan pusat kemudahan COVAX adalah sangat tinggi.

“Risiko gagal adalah tinggi kerana skim itu diwujudkan terlalu cepat dan tidak beroperasi secara berpusat,” menurut laporan dokumen tersebut kepada Gavi yang merupakan pakatan kerajaan, syarikat ubat-ubatan, kebajikan dan organisasi antarabangsa.

Gavi berperanan mengatur kempen vaksinasi global dan mengetuai COVAX bersama WHO.

Selain itu, Gavi juga menggunakan khidmat kumpulan Citi Bank pada bulan lalu bagi mendapatkan nasihat mengenai pengurangan risiko kewangan berhubung edaran vaksin Covid-19 ke negara miskin.

Dalam satu memo bertarikh 25 November lalu, penasihat Citi menegaskan risiko terbesar untuk program tersebut adalah kontrak pembekalan vaksin yang membolehkan negara terlibat tidak membeli vaksin yang ditempah menerusi COVAX.

Potensi berlaku ‘salah faham’ antara bekalan vaksin dan permintaan bukanlah ‘risiko komersial yang boleh dikurangkan oleh pasaran’. Sebaliknya, langkah itu boleh dikurangkan menerusi rundingan kontrak yang sepenuhnya diuruskan oleh kerajaan.

 

Tetap yakin akan berjaya

Dalam pada itu, ditanya mengenai pendedahann dokumen tersebut, Gavi memaklumkan mereka tetap yakin program COVAX akan berjaya.

“Adalah tidak bertanggungjawab untuk tidak menilai risiko yang bakal berlaku melibatkan program besar dan kompleks, selain untuk membina polisi serta usaha bagi mengurangkan kesemua risiko berkenaan,” jelas badan tersebut.

 

Persetujuan bekalan vaksin

Pelan COVAX bergantung kepada vaksin yang lebih murah dan masih belum  mendapat kelulusan pihak berkuasa berbanding vaksin lain seperti Pfizer-BioNTech dan Moderna yang menggunakan teknologi mahal.

Setakat ini, COVAX sudah mencapai persetujuan untuk mendapatkan bekalan vaksin keluaran AstraZeneca, Novavax dan Sanofi berjumlah 400 juta dos.

Namun, ketiga-tiga syarikat tersebut masih belum melengkapkan ujian klinikal fasa akhir dan kelulusan mungkin hanya diperoleh pada separuh kedua 20212 atau lebih lewat.

Situasi itu secara tidak langsung meningkatkan keperluan kewangan COVAX dengan anggaran kos purata bagi vaksin yang disediakan adalah AS$5.20 (RM21) bagi setiap dos.

 

Mungkin tidak pilih Pfizer

Gavi juga dijangka tidak memilih vaksin Pfizer-Biontech dan Moderna memandangkan vaksin keluaran dua syarikat tersebut memerlukan proses simpanan yang rumit dan tidak sesuai untuk diedarkan ke negara miskin berdasarkan keperluan kemudahan.

Selain itu, vaksin Pfizer juga lebih mahal iaitu AS$18.40 (RM74.30) hingga AS$19.50 (RM78.70) bagi setiap dos, manakala vaksin Moderna dianggarkan berharga AS$25-37 (RM101-RM150) setiap dos.

 

Tekanan kewangan

COVAX menyatakan pihaknya memerlukan dana tambahan sebanyak AS$4.9 bilion (RM19.8 bilion) berbanding  AS$2.1 bilion (RM8.5 bilion) yang ada ketika ini.

Britain dan Kesatuan Eropah (EU) merupakan antara penyumbang utama kepada COVAX, manakala Amerika Syarikat (AS) dan China sehingga kini tidak memberi sebarang sumbangan. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya