LOMBOK: Sebuah video memaparkan aksi sekumpulan murid memijak kad laporan menjadi tular dalam aplikasi TikTok sehingga menyebabkan kesemuanya dibuang sekolah.
Lapor Kompas.com, kejadian itu melibatkan lima murid gred tujuh dari SMPN 1 Sulea, Lombok Timur.
Aksi itu menyebabkan guru-guru menzahirkan kekecewaan kerana mereka menghabiskan masa sehingga tengah malam untuk menyiapkan kad laporan tersebut.
Seorang guru, Ahmad Riadi menyaksikan sendiri video yang tersebar sejak Sabtu lalu yang melibatkan sekurang-kurangnya empat murid dengan durasi 12 hingga 14 saat.
“Lihat ini, tergamak mereka memuat naik video seperti ini, kami sangat kecewa,” katanya.
Bagi guru bahasa Inggeris, Ahyar menyifatkan tindakan itu adalah keterlaluan.
“Mereka sangat keterlaluan, tidak hormat guru, tidak menghargai bagaimana kami mengisi kad laporan dengan susah payah sampai tengah malam agar tiada kesalahan tetapi mereka sanggup memijak-mijak kad laporan dalam video TikTok,” katanya.
Salah seorang murid yang dibuang sekolah mengaku video TikTok itu dirakam dengan kawan-kawannya kerana mereka kecewa dengan gred markah yang rendah kerana sesi pengajaran dalam talian diadakan sedangkan sebelum ini mereka adalah murid pintar.
“Saya sedih kerana saya mahu ke sekolah semula. Kami minta maaf kerana kami salah. Masa itu, kami kecewa dengan gred yang tidak memuaskan,” luahnya.