SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerima lebih 30 aduan mengenai ajaran sesat sejak 50 tahun lalu.
Lapor Berita Mediacorp, ada di antara aduan tersebut didedahkan kepada umum dan sebaliknya mengikut keperluan serta kesan kepada rakyat republik ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Mufti Singapura, Mohd Murat Md Aris dalam satu temu bual kelmarin.
“Sejak MUIS ditubuhkan iaitu dari 1968 hingga kini, Jawatankuasa Fatwa sudah menerima lebih aduan tentang ajaran agama sesat. Sebahagiannya jelas merupakan ajaran yang salah, maka tindakan sudah diambil untuk menanganinya,” katanya.
Baru-baru ini, penduduk Islam Singapura digemparkan dengan kes seorang lelaki berusia 50-an yang mendakwa dirinya adalah nabi dan mengamalkan ‘nikah batin’ dengan lima wanita.
Lelaki itu juga dikatakan menghalalkan wang perjudian untuk membantu orang lain.
Kegiatan itu juga dikaitkan dengan ajaran sesat yang dinamakan Fahaman Yayi yang dibongkar pihak berkuasa republik ini pada 2018.
Dalam pada itu, Mohd Murat menegaskan bahawa setiap aduan yang dilaporkan akan disiasat secara teliti kerana setiap satunya memberi kesan yang besar kepada penduduk.
Menurut beliau, jika aduan itu dari ‘pihak ketiga’, maka perlu ada bukti kukuh bagi menyokong tuduhan.
Selain itu, Mohd Murat menyatakan mengeluarkan bukti yang kukuh adalah tanggungjawab bagi mereka yang membuat aduan.
“Sehubungan itu, orang ramai perlu berhati-hati membuat aduan terutamanya berkaitan ajaran sesat dan seumpamanya,” ujarnya.