JAKARTA: Seorang pemilik bengkel terkejut selepas menemukan mayat dalam keadaan mengerikan iaitu tanpa kepala dan kaki di tepi sungai berhampiran premis perniagaannya di Bekasi, Jawa Barat semalam.
Ketua Polis Metro Bekasi, Wijonarko berkata, mayat lelaki itu ditemukan ketika pemilik bengkel tersebut ingin memulakan operasi bengkelnya pada pukul 8 pagi waktu tempatan.
Katanya, lelaki itu pada mulanya menemukan sebilah gunting di bahagian hujung sungai sebelum meneliti keadaan sekeliling.
“Curiga dengan penemuan gunting itu, lelaki tersebut kemudiannya memeriksa keadaan sekeliling dan menemukan mayat berkenaan.
“Selain tiada kepala dan kedua belah kaki, bahagian tangan kiri mayat itu juga hilang,” kata Wijonarko seperti yang dilapor Tribunnews.
Sehubungan itu, lelaki tersebut segera menghubungi polis dan memaklumkan penemuan terbabit.
Pasukan polis kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian dan memeriksa mayat tersebut.
Sehingga kini, polis tidak menemukan sebarang kad pengenalan atau petunjuk berkaitan identiti mangsa dan siasatan menyeluruh akan dilakukan segera.