JAKARTA: Sebuah video yang tular dalam media sosial menunjukkan seorang mahasiswa bernama Katarina mengikuti majlis konvokesyen secara dalam talian di dalam hutan Gaharu di Desa Baya, Flores Timur.
Lapor Tribun News, video yang dimuat naik akaun Facebook milik Wollo Optimal semalam turut menunjukkan kehadiran ibu bapa Katarina untuk meraikan hari istimewa anak mereka.
Mahasiswa itu turut menghiasi majlisnya dengan sebuah belon tertera perkataan ‘Congrats’ sebagai ucapan selamat atas kejayaannya bergraduasi.
Berdasarkan keterangan video tersebut, Katarina terpaksa mengikuti acara istiadat konvokesyen di dalam hutan berikutan capaian internet yang terbatas di rumahnya dan isyarat lebih jelas jika berada di dalam hutan.
Video tersebut menerima banyak komen warga maya dan ratusan kali dikongsikan dalam pelbagai kumpulan Facebook.
Salah seorang ahli keluarganya, Elias Wolllo mengesahkan perkara tersebut.
“Ya, benar tadi sepupu saya mengikuti majlis konvokesyen dalam talian di dalam hutan kerana di kampung susah mendapat isyarat internet.
“Maka, kami terpaksa masuk ke hutan untuk terus berhubung dan mempunyai jaringan internet,” katanya.