NEW DELHI: Bagi masyarakat India, perkahwinan bukan setakat penyatuan dua hati, tetapi juga dilihat sebagai fenomena budaya yang menjadi identiti komuniti tersebut.
Setiap keluarga di India mengimpikan majlis perkahwinan anak mereka dilangsungkan secara besar-besaran ala Bollywood kerana majlis kahwin merupakan satu daripada elemen untuk melambangkan kekayaan, kesenangan dan kegembiraan.
Namun, pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini dilihat mengubah norma kebiasaan majlis perkahwinan masyarakat India.
Sebelum ini, setiap majlis akan dihadiri ribuan tetamu dan kos perbelanjaan boleh mencecah sehingga AS$34,000 (RM138,587).
Namun kini, rata-rata majlis perkahwinan boleh dihadiri kira-kira 50 hingga 80 tetamu dan keluarga pengantin hanya perlu membelanjakan sebanyak AS$6,800 (RM27,719), jauh lebih murah berbanding kos sebelum pandemik.
Kahwin norma baharu mula diterima
Pengarah syarikat perancang majlis perkahwinan Yuna Weddings, Mukta Kapoor berkata, bakal pengantin di India ketika ini semakin menerima trend perkahwinan norma baharu yang menyaksikan tiada lagi perbelanjaan besar-besaran dikeluarkan, majlis serba mewah dan tetamu yang ramai.
Katanya, bakal pengantin mula mengikut protokol yang ditetapkan termasuk menetapkan para tetamu yang akan menghadiri majlis mereka melakukan ujian saringan Covid-19.
Selain itu, hidangan bufet juga tidak lagi menjadi pilihan seperti kebanyakan majlis kahwin sebelum ini.
“Pasangan pengantin mula menempah makanan berhidang dan ada juga dalam kalangan mereka yang menyiarkan majlis secara penstriman langsung tanpa menjemput tetamu,” katanya.
Seorang lagi perancang perkahwinan, Mehak Sagar menyatakan bahawa keluarga pengantin ketika ini lebih selesa memilih lokasi majlis yang lebih dekat dengan rumah atau menempah hotel untuk ahli keluarga serta tetamu terdekat sahaja bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.
“Tiada lagi majlis perkahwinan tipikal masyarakat India sejak pandemik Covid-19 ‘menawan dunia’,” ujarnya.
‘Tidaklah teruk sangat’
Era majlis perkahwinan mewah seperti bintang filem Bollywood mungkin boleh dikatakan sudah ‘berakhir’ sejak pandemik Covid-19 melanda.
Namun, situasi itu dianggap ‘tidaklah teruk sangat’ oleh segelintir bakal pengantin, malah mereka menerima keadaan tersebut dengan hati terbuka.
Secara tradisinya, keluarga pengantin dari kedua-dua belah pihak memainkan peranan paling besar dalam majlis perkahwinan yang bakal dilangsungkan.
Namun, keadaan itu kini sudah berubah apabila bakal pengantin sendiri yang akan menetapkan apa yang mereka mahu dalam majlis perkahwinan.
Acharya dari Mumbai berkata, dia sering impikan majlis perkahwinan yang sederhana namun hasratnya dibantah oleh keluarga mertuanya.
“Bagi masyarakat India, keluarga membuat semua keputusan mengenai majlis perkahwinan anda dan bakal pengantin hanya ‘duduk diam’.
“Namun, pandemik Covid-19 secara tidak langsung memberi ruang dan peluang kepada bakal pengantin untuk menentukan sendiri majlis mereka, mengikut keperluan dan juga mematuhi protokol kesihatan,” jelasnya.
Katanya, tidak mengapa jika tiada majlis perkahwinan mewah seperti Bollywood, asalkan niat suci berkahwin dapat diteruskan. – AGENSI