MELBOURNE: Sepasang kekasih didakwa terlalu leka menonton Netflix sehingga terlupa anak mereka tertinggal di dalam kereta sehingga menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia kerana sesak nafas.
Lapor Mirror, ibunya, Laura Black, 37, dan teman lelakinya, Aaron Hill, 29, dituduh gagal menyedari Rylee Rose, 3, masih berada di dalam kereta di luar rumah mereka di Townsville, Australia.
Dilaporkan, suhu meningkat hingga 32 darjah Celsius ketika Rose ditinggalkan selama beberapa jam di dalam kereta tersebut.
Kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital Universiti Townsville kira-kira pada pukul 3 petang waktu tempatan dengan laporan awal mendakwa kereta itu diletakkan di ruang parkir di jalan masuk sejak pukul 9 pagi.
Rose ditemukan dalam keadaan tidak sedar diri di kerusi bayi yang diletakkan di tempat duduk belakang kereta Toyota Prado milik pasangan tersebut.
Menurut Townsville Bulletin, ketika kejadian, Black dan teman lelaki baharunya, bertengkar di jalan masuk luar rumahnya selepas pulang dari menghantar tiga lagi anak perempuannya ke sekolah.
Pasangan itu kemudian masuk ke rumah dan menonton rancangan Netflix dan terlupa mengenai Rose yang masih berada dalam kereta.
Pasangan itu mendakwa mereka hanya menyedari Rose masih berada dalam kereta apabila keluar semula untuk mengambil semula anak-anak mereka dari sekolah.
Sehubungan itu, Black dan Hill ditahan polis dan terpaksa menghabiskan hujung minggu dalam lokap sebelum dibenarkan keluar dengan ikat jamin.
Peguam Hill berkata, insiden itu merupakan satu tindakan yang tidak disengajakan.