BEIJING: Ketika pandemik Covid-19 masih belum reda, industri pengangkutan di seluruh dunia sentiasa memikirkan langkah terbaik untuk memastikan para penumpang dan kru dilindungi daripada sebarang jangkitan.
Pada 25 November lalu, Pihak Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) mengeluarkan satu garis panduan baharu untuk industri penerbangan di negara ini.
Dokumen berjudul ‘Garis Panduan Teknikal untuk Pencegahan dan Kawalan Epidemik bagi Penerbangan’ itu mengandungi amalan kebersihan untuk dipraktikkan di dalam pesawat dan juga lapangan terbang.
Satu daripada cadangan dalam garis panduan tersebut adalah menggalakkan kru kabin memakai lampin pakai buang bagi mengelakkan mereka menggunakan tandas semasa penerbangan.
Dokumen itu menyebut, kru kabin yang dalam atau dari penerbangan negara berisiko tinggi dinasihatkan memakai pelitup muka, sarung tangan dua lapis, gogel, penutup kepala pakai buang, pakaian perlindungan diri (PPE) dan pelindung kasut pakai buang.
Selain itu, frasa tersebut juga memasukkan kru kabin dicadangkan supaya memakai lampin pakai buang dan mengelakkan menggunakan tandas bagi mencegah jangkitan Covid-19.
Biarpun ‘nasihat’ tersebut disifatkan terlalu dramatik, namun terbukti tandas pesawat boleh menjadi hab jangkitan Covid-19.
Sebagai contoh, pada Ogos lalu, seorang wanita yang dalam penerbangan dari Itali ke Korea Selatan dijangkiti virus tersebut selepas pergi ke tandas. – AGENSI