NEW YORK: Polis Kepulauan Marshall menemukan kokain terbesar seberat 649 kilogram (kg) yang tersembunyi di bawah sebuah kapal di gugusan pulau Ailuk.
Kokain yang dianggarkan bernilai AS$80 juta (RM323 juta) itu ditemukan dalam kapal terbengkalai yang tersadai di sebuah pulau terpencil di kawasan kepulauan tersebut.
Kapal sepanjang 5.5 meter itu ditemukan di pulau Ailuk pada minggu lalu oleh penduduk setempat dan kapal itu kemungkinan besar hanyut selepas belayar di Pasifik dari Amerika Tengah atau Selatan sebelum ini.
Menurut polis, dadah yang terdapat dalam bungkusan yang ditandakan dengan huruf ‘KW’ dibakar kelmarin, manakala, dua bungkusan lain akan diserahkan kepada Badan Penguatkuasaan Dadah AS untuk dianalisis.
Bangkai kapal dari AS kerap tersadai di kepulauan Marshall dalam tempoh beberapa bulan atau tahun disebabkan oleh arus Lautan Pasifik.
Terdapat banyak simpanan dadah lain di sepanjang pantai Kepulauan Marshall sejak dua dekad lalu, termasuk di Ailuk.
Pihak berkuasa mengemukakan pelbagai teori tentang asal-usul dadah tersebut, termasuk yang ditinggalkan ketika penyeludup berada dalam keadaan bahaya akan ditangkap atau hilang dalam ribut.
Pada Januari 2014, seorang nelayan dari Salvador, Jose Alvarenga tersadai di Marshall selepas 13 bulan dia belayar dari pantai barat Mexico dengan seorang rakannya yang meninggal semasa pelayaran.
Selepas penemuannya, para penyelidik dari Universiti Hawaii melakukan 16 simulasi komputer mengenai insiden hanyut dari pantai Mexico dan mendapati hampir kesemua mangsa akhirnya akan dihanyutkan ke kepulauan tersebut. – AFP