BANGKOK: Seorang pekerja premis penyembelihan haiwan yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah menetak mati dua wanita dan mencederakan lima orang dalam beberapa siri serangan di pekan Udon Thani semalam.
Lapor Bangkok Post, suspek dikenal pasti sebagai Itthipol Imphueng, 31, berasal dari daerah Nong Wua So dan bekerja di sebuah rumah penyembelihan di daerah Muang.
Menurut polis, suspek menunggang motosikal di sekitar pekan Udon Thani dan menyerang orang awam.
Mangsa pertama yang maut dikenali sebagai Anchaya Boobyingyuan, 16. Gadis itu disahkan meninggal dunia di hospital akibat ditetak pada bahagian leher.
Mangsa kedua pula dikenali sebagai Cholada Hinkham, berusia 22 tahun. Wanita itu mengalami kecederaan parah akibat ditikam pada leher dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Suspek kemudiannya menyerang lima lagi mangsa termasuk remaja lelaki berusia 13 tahun sebelum melarikan diri.
Polis akhirnya berjaya menahan suspek selepas dibantu sekumpulan penduduk setempat.