Kesedihan penduduk Wuhan belum reda - Utusan Malaysia

Kesedihan penduduk Wuhan belum reda

LIU Pei’en menzahirkan rasa marah terhadap kerajaan China kerana menyembunyikan hal sebenar daripada penduduk Wuhan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WUHAN: Liu Pei’en membuat keputusan menutup perniagaan pelaburannya dan memeluk agama Buddha selepas kematian bapanya akibat Covid-19 pada Januari lalu.

Zhong Hanneng pula masih mengalami kesukaran untuk tidur malam atau makan berikutan kematian anak lelakinya akibat virus tersebut sejak hampir 10 bulan lalu.

Selain itu, Hanneng juga dipulaukan oleh ahli keluarga serta rakan-rakan kerana mereka bimbang dijangkiti Covid-19.

Itu adalah sebahagian daripada kesedihan dan kesukaran yang dialami oleh penduduk Wuhan selepas keluarga mereka menjadi mangsa Covid-19

Kesukaran itu semakin bertambah apabila kerajaan China sehingga kini terus menolak untuk bertanggungjawab atas kegagalan mereka mengesan kes jangkitan pada peringkat awal.

Bapa Pei’en, Liu Ouqing, 78, yang merupakan petugas kerajaan dan bekas setiausaha Parti Komunis cawangan Wuhan dijangkiti wabak tersebut selepas menjalani pemeriksaan di sebuah hospital di sini, tanpa menyedari situasi sebenar yang berlaku.

Diagnos Ouqing tidak pernah disahkan memandangkan kit ujian ketika itu sukar didapati dan dia kemudiannya meninggal dunia pada 29 Januari.

“Anda boleh cakap saya juga meninggal dunia pada tarikh tersebut. Saya sangat marah dan ingin balas dendam atas apa yang menimpa bapa saya,” kata Pei’en dalam satu temu bual bersama AFP di sini.

Lelaki itu memaklumkan dia menghabiskan tahun ini dengan perasaan yang tidak tenang dan menggunakan semua saluran media sosial untuk melahirkan rasa marah terhadap kerajaan yang gagal menangani wabak tersebut.

Banyak keluarga menuduh pihak berkuasa Wuhan sengaja menyembunyikan kemunculan awal wabak tersebut pada Disember 2019 dengan memaksa para doktor berdiam diri dan menafikan teori virus koronavirus boleh berjangkit dari manusia ke manusia.

Persembunyian yang dilakukan selama beberapa minggu itu menyebabkan dunia ketika ini berdepan dengan pandemik terburuk dalam sejarah.

Hampir 4,000 orang maut akibat wabak tersebut di bandar ini dan merupakan penyumbang utama kes kematian akibat Covid-19 di China.

 

Rahsia, penafian

Akibat kecewa dan penat dengan penafian yang dilakukan oleh kerajaan, Pei’en kini berpegang kepada ajaran Buddha bagi menenangkan diri dan meneruskan kehidupan.

Keputusan menutup perniagaannya juga disifatkan sebagai langkah tepat kerana ‘duit sudah tidak bermakna jika tiada keluarga’.

Selain itu, bagi Hanneng, 67, kematian anak lelakinya, Peng Yi, 39 yang merupakan seorang guru sekolah rendah adalah disebabkan oleh kedegilan kerajaan China.

Wanita itu memberitahu, anaknya meninggal dunia pada pertengahan Februari lalu selepas tidak dapat dimasukkan ke hospital susulan jumlah trafik yang terlalu padat.

Sehubungan itu, Hanneng ingin ‘membela kematian’ anaknya dengan menyaman pihak berkuasa bandar ini, namun tuntutannya ditolak mahkamah.

Kini, apa yang mampu dibuat oleh Hanneng dan keluarganya adalah menatap potret Peng Yi setiap hari untuk melepaskan kerinduan.

“Saya risau jika saya mendapat tekanan jiwa selepas ini. Saya berasa sangat tidak selesa dan tidak tenang setiap hari.

“Saya asyik fikirkan bagaimana keadaan anak saya ketika meninggal dunia seorang diri di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa ditemani ahli keluarga tersayang,” ujarnya.

 

ZHONG Hanneng masih meratapi pemergian anaknya, Peng Yi akibat Covid-19. – AFP

Sangat sunyi

Wuhan ketika ini sudah semakin pulih, namun rasa takut jika virus itu kembali menyerang, terutamanya dalam musim sejuk sentiasa terpahat dalam hati penduduk.

Hanneng dan suaminya percaya mereka juga dijangkiti wabak tersebut, namun hanya mempunyai gejala ringan.

Kematian anaknya menyebabkan keluarga Hanneng dipinggirkan oleh rakan serta saudara-mara.

“Tiada siapa ingin bergaul dengan kami. Kami berasa amat sunyi,” jelas Hanneng.

 

Sertai kumpulan sokongan

Puluhan keluarga mangsa Covid-19 menyertai beberapa kumpulan sokongan sosial untuk berbincang mengenai tindakan undang-undang.

Namun, ahli-ahli kesemua kumpulan tersebut sering ‘diganggu’ polis, malah mereka diugut untuk dikenakan tindakan undang-undang jika masih menyertai kumpulan sokongan berkenaan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya