ENGLAND: Sepasang kekasih terkejut apabila mendapati kereta Mercedes yang bernilai 16,500 pound (RM88,421) yang diletakkan di hadapan rumah lunyai dikerjakan pencuri di West Bromwich, West Midlands.
Lapor Daily Mail, pencuri itu menanggalkan pintu, bonet, but, empat tayar dan tempat duduk kereta itu semasa pemilik kenderaan itu sedang tidur di rumahnya.
Ahli perniagaan, Paul Hampton, 56, dan pasangannya, Jacqui Heeley, 54, terjaga pada pukul 5 pagi, Khamis lalu selepas jirannya memberitahu supaya melihat kereta yang diletakkan di luar rumah.
Hampton terkejut melihat kereta Mercedes 2018 C-Class AMG dileraikan ke beberapa bahagian oleh pencuri tersebut.
Malah, gula-gula yang diletakkan di dalam kereta juga turut dikebas pencuri itu.
“Saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat sekarang. Mereka tidak merosakkan sebarang panel tetapi hanya meleraikan sahaja komponen kereta.
“Penjenayah ini adalah profesional dan dilihat seperti bekerja secara berkumpulan dalam lima atau enam orang.
“Mereka tidak meninggalkan sebarang cap jari kerana memakai sarung tangan getah dan tidak mengambil masa terlalu lama kerana mereka bukan pencuri kereta amatur.
“Saya ada bercakap dengan beberapa kawan mekanik dan mereka percaya pencuri itu inginkan bumper dan lampu kerana sensor dalaman bernilai 1,000 pound (RM5,359),” katanya.
Menurutnya, kereta itu merupakan Mercedes kelima dibelinya sejak 15 tahun lalu dan kejadian itu merupakan kali pertama berlaku.