Kebumi jenazah Covid-19 ikut ajaran Islam di Myanmar - Utusan Malaysia

Kebumi jenazah Covid-19 ikut ajaran Islam di Myanmar

SITHU Aung bersama pasukannya akan menguruskan jenazah Covid-19 mengikut ajaran agama Islam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Biarpun rasa tidak selesa memakai pakaian pelindung diri (PPE) sepanjang hari, keadaan itu tetap tidak menghalang seorang sukarelawan, Sithu Aung untuk menguruskan jenazah Covid-19 mengikut ajaran agama Islam.

Sejak beberapa bulan lalu, bapa berusia 23 tahun itu dan pasukan sukarelawan boleh dikatakan menghabiskankan masa setiap hari di tanah perkuburan dan berjauhan dengan keluarga bagi menguruskan jenazah Covid-19 yang makin bertambah hari demi hari.

Tanpa usaha pasukan tersebut, kebanyakan mayat pesakit Covid-19 akan dibakar dan kaedah itu mungkin tidak menjadi masalah untuk penganut agama Buddha.

Namun, agama Islam melarang jenazah dikebumikan secara dibakar dan seeloknya ditanam.

“Saya dapat kepuasan apabila melihat keluarga mangsa berasa lega jenazah keluarga mereka dapat dikebumikan mengikut ajaran Islam dan alhamdulillah semuanya dimudahkan Allah SWT.

“Itu sebab mengapa kami sanggup merisikokan diri melakukan semua kerja ini,” katanya.

Terdapat kira-kira 350,000 penduduk beragama Islam di Yangon iaitu tujuh peratus daripada jumlah populasi di bandar raya ini.

Selain itu, Aung juga memaklumkan dia tidak akan melupakan pengalaman pertamanya mengebumikan jenazah Covid iaitu seorang lelaki berusia 69 tahun.

Katanya, dia berasa amat takut untuk menyentuh tubuh jenazah namun lama kelamaan, perasaan itu sudah berubah dan kini dia tidak lagi takut berdepan dengan mayat.

“Saya berasa kasihan melihat ahli keluarga yang tidak dapat menatap muka insan tersayang buat kali terakhir, namun kami juga bertanggungjawab tidak menyebarkan jangkitan kepada mereka,” ujarnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya