ENTEBBE: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari Uganda menjadi perhatian kerana memiliki pengetahuan luas mengenai kapal terbang dan kemahiran menerbangkan pesawat.
Reuters melaporkan, Graham Shema ditemubual di televisyen tempatan, malah terkenal dengan gelaran `Kapten’ laman media sosial.
Shema yang juga gemar mata pelajaran Matematik dan Sains, pernah menyertai latihan penerbangan sebagai juruterbang pelatih sebanyak tiga kali dalam pesawat Cessna 172.
Menurut Shema, dia bercita-cita mahu menjadi juruterbang dan angkasawan serta menjelajah ke planet Marikh.
“Pengasas SpaceX, Elon Musk adalah `role model’. Saya suka beliau dan mahu belajar dengannya mengenai angkasa lepas, pergi menjelajah bersamanya di angkasa lepas serta berjabat tangan dengannya,” kata Shema.
Dalam pada itu, menurut ibu Shema, Shamim Mwanaisha, anaknya sangat meminati pesawat selepas satu insiden berlaku ketika dia masih kecil.
Katanya, ketika Shema berusia tiga tahun, sebuah helikopter polis terbang begitu rendah ke tanah sehingga meletupkan bumbung rumah neneknya semasa dia sedang bermain di luar rumah mereka di Kampala.
Jelasnya, selepas kejadian itu, anaknya sering bertanya soalan mengenai pesawat termasuk cara ia berfungsi.