Kapal tangki minyak Singapura meletup di Jeddah - Utusan Malaysia

Kapal tangki minyak Singapura meletup di Jeddah

KAPAL tangki minyak, BW Rhine milik Singapura meletup di pelabuhan Arab Saudi hari ini. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Satu letupan menggegarkan kapal tangki minyak Singapura di luar bandar pelabuhan Arab Saudi, Jeddah, hari ini.

Pemilik kapal itu yang berpangkalan di Singapura, Hafnia berkata, letupan itu merupakan serangan terbaharu terhadap infrastruktur tenaga di negara itu.

Setakat ini tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab berhubung letupan kapal tangki BW Rhine.

Namun begitu, kejadian itu berlaku ketika pemberontak Huthi yang disokong Iran di negara jiran Yaman meningkatkan serangan rentas sempadan terhadap sasaran Arab Saudi sebagai pembalasan untuk kempen ketenteraan lima tahun yang diketuai oleh Riyadh.

“BW Rhine diserang semasa hendak meninggalkan Jeddah yang menyebabkan letupan dan kebakaran di kapal.

“Anak kapal memadamkan kebakaran dengan bantuan daripada pasukan pemadam serta kapal tunda, dan semua 22 kelasi disahkan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Pihak berkuasa Arab Saudi belum mengesahkan lagi letupan di Jeddah yang merupakan sebuah pelabuhan dan pusat pengedaran utama Laut Merah untuk gergasi minyak, Saudi Aramco.

Hafnia melaporkan kerosakan badan kapal dalam letupan itu dan tidak menolak kemungkinan berlaku tumpahan minyak.

“Ada kemungkinan sebilangan minyak tertumpah dari kapal, tetapi masih belum dapat dipastikan dan peralatan sekarang menunjukkan paras minyak di kapal berada pada tahap sama seperti sebelum kejadian,” jelasnya.

Sebuah firma perisikan maritim berpusat di London, Dryad Global turut melaporkan mengenai letupan terbaharu itu dan berkata, serangan kapal itu berlaku ketika operasi dijalankan di dalam pelabuhan kapal tangki utama di pelabuhan Saudi Aramco Jeddah.

Serangan itu meletakkan sasaran terhadap kapal tangki Republik Dominika, Desert Rose atau Al-Amal Al-Saudi dari Arab Saudi. -AFP

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya