ENGLAND: Satu kajian dari Universiti Sydney dan Universiti Roehampton di London menunjukkan kanggaru mampu berkomunikasi dengan manusia sekali gus menunjukkan tahap fungsi kongnitif lebih tinggi.
Lapor The Guardian, para penyelidik memberikan kanggaru tugas yang tidak dapat diselesaikan iaitu dengan meletakkan makanan di dalam kotak yang tidak dapat dibuka.
Pengarang bersama kajian itu, Dr. Alexandra Green berkata, sebilangan besar haiwan itu memandang ke arah penyelidik dan kemudian kembali ke kotak itu dengan isyarat yang ditafsirkan sebagai permintaan untuk pertolongan.
“Sebilangan daripada haiwan itu benar-benar menghampirinya dan mula menguis serta menghidu kembali kotak itu sehingga mereka benar-benar berusaha berkomunikasi dengannya,” katanya.
Pandangan itu sudah dikenal pasti terhadap binatang lain apabila meminta bantuan daripada manusia, tetapi penulis, Dr. Alan McElligott berkata, secara umumnya situasi itu hanya berlaku bagi mereka yang menjinakkan haiwan selama ratusan tahun.
“Kanggaru memang menunjukkan corak tingkah laku yang sangat serupa seperti kita lihat pada anjing, kuda serta kambing ketika diuji,” katanya.
Menurut Green, kajian itu turut menjelaskan komunikasi antara spesies dapat dipelajari oleh mana-mana haiwan dengan kekuatan otak yang mencukupi.
“Pada mulanya mereka menganggapnya sebagai sifat binatang peliharaan tetapi kami rasakan ia adalah sesuatu yang dapat anda pelajari dengan keadaan persekitaran yang tepat.
“Oleh itu, disebabkan kanggaru selalu berada di sekitar manusia dalam ladang binatang, kami berpendapat ia telah belajar untuk menyatakan tingkah laku ini, “katanya.