JAKARTA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun patah tulang tangan akibat terjatuh dari ketinggian belasan meter selepas ‘diterbangkan’ layang-layang.
Lapor Tribunnews, kejadian itu berlaku Pringsewu, wilayah Lampung baru-baru ini dan ‘babak’ kanak-kanak itu diterbangkan layang-layang sempat dirakam oleh penduduk setempat.
Video itu kemudiannya menjadi viral dalam media sosial.
Kakak mangsa yang dikenali sebagai Acil memberitahu dia tidak pasti bagaimana adiknya boleh terikat pada tali layang-layang tersebut dan kemudiannya ‘diterbangkan’.
“Ketika kejadian, saya berada di dalam kereta dan hanya menyedari perkara itu selepas orang ramai mula menjerit memberitahu adik saya diterbangkan layang-layang.
“Saya keluar dari kereta dan ternampak adik sudah berada di udara sebelum dia terjatuh,” katanya.
Acil memberitahu, kini adiknya sudah semakin pulih selepas mendapatkan rawatan akibat patah tulang tersebut.