JAKARTA: Tidak ramai yang mengetahui kampung tertua di Indonesia adalah Kampung Upit yang terletak di Jawa Tengah dan dianggarkan berusia 1,154 tahun.
Maklumat itu dimaklumkan oleh Agensi Maklumat dan Komunikasi Jawa Tengah (Diskominfo) menerusi satu video yang dimuat naik dalam Instagram @kominfo.jateng kelmarin.
Menurut Diskominfo, Kampung Upit atau Yupit ditadbir oleh Kampung Kahuman dan Ngawen, Daerah Klaten, Jawa Tengah.
Lapor Suara.com, video tersebut malah menjelaskan bukti menunjukkan Upit adalah kampung tertua di Indonesia berdasarkan ukiran Upit di Kampung Kahuman.
Ukiran kuno itu ditulis dengan tahun 788 atau 866 masihi.
Ketua Kampung Kahuman, Joko Sumitro mengesahkan ukiran Upit di kampung tersebut ditulis sejak 866 masihi.
Pasukan Pemeliharaan Ngupit Ngawen, Rohani berkata, ukiran tersebut membantu pihaknya mengkaji sejarah masa lalu.
“Upit sudah dikenali lama yang membuktikan Klaten menjadi kampung tertua dan ibu negara untuk kita mengetahui sejarah lampau. Kita sudah mempunyai pemerintahan yang lebih teratur,” katanya.
Salah seorang penduduk tertua di kampung itu, Daliman Harno P memberitahu sebahagian ukiran Upit kampungnya juga mempunyai bukti kukuh seperti batu kuil.
“Bukti menunjukkan Upit adalah kampung tertua adalah penemuan batu di kuil yang terletak di kawasan kubur. Semasa kecil, bentuk batu itu adalah segi empat tepat yang terletak di bahagian atas,” jelasnya.