JAKARTA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan kadar kematian akibat jangkitan wabak Covid-19 di Indonesia masih berada pada tahap yang tinggi.
Laporan kajian WHO itu merupakan hasil pemerhatian yang dilakukan sepanjang 23 hingga 29 November lalu.
Lapor CNN Indonesia, menurut WHO, nisbah kes kematian akibat wabak Covid-19 adalah sebanyak 0.34 kematian bagi setiap 100,000 penduduk, iaitu membabitkan 3.4 peratus.
Berdasarkan piawaian WHO, purata kadar kematian di peringkat global pula merekodkan sebanyak 2.39 peratus.
Ini bermakna angka kematian Covid-19 di Indonesia masih lebih tinggi berbanding purata negara-negara lain.
Selain itu, kajian WHO juga mendapati tiada penurunan kes kematian secara berturut-turut yang direkodkan di Pulau Jawa bagi tempoh tiga minggu terakhir.
Dalam pada itu, laporan WHO menjelaskan lebih banyak kes kematian dicatatkan di Jakarta, Jawa Tengah dan Jawa Timur pada 9 hingga 29 November.
“Pada 9 hingga 15 November, Jakarta mencatatkan 82 kes kematian, kemudian meningkat kepada 83 kes pada 16 hingga 22 November dan terus naik lagi sebanyak 121 kes pada 23 hingga 29 November.
“Di Jawa Tengah pula, sebanyak 224 kes kematian dicatatkan pada minggu pertama, meningkat kepada 265 kes (minggu kedua) dan seterusnya 363 kes pada minggu ketiga.
“Jawa Timur pula menyaksikan 124 kes kematian pada minggu pertama, 126 kes (minggu kedua) dan 226 kes (minggu ketiga),” jelas laporan itu.
Sementara itu, laporan itu turut menyatakan Indonesia hanya melaporkan data kes kematian pesakit Covid-19 yang disahkan.
Hal tersebut berbeza dengan standard dan perkiraan data kes kematian yang ditetapkan di bawah garis panduan WHO.