KAHERAH: Seorang jurutera dari Mesir berjaya mencipta sebuah robot kawalan jauh canggih yang boleh membimbing pesakit dengan memeriksa suhu badan, melakukan ujian saringan Covid-19 selain menegur mereka yang gagal memakai pelitup muka.
Lapor Daily Mail, robot yang dinamakan Cira-03, mampu menggantikan tugasan jururawat dengan mengambil darah pesakit, melakukan rawatan prosedur Electrocardiogram (EKG) serta X-ray dan kemudian menyalurkan hasil ujian tersebut pada skrin yang dipasang di bahagian dada robot itu.
Menurut El-Komy, Cira-03 melakukan ujian saringan Covid-19 dengan menongkat dagu pesakit dan kemudian menggunakan lengannya untuk memasukkan alat khusus ke dalam mulut mereka bagi mengesan virus tersebut.
Meskipun robot itu dicipta bagi mengurangkan pendedahan petugas kesihatan terhadap jangkitan virus itu, El-Komy juga mahu membuatkan para pesakit berasa selesa dalam situasi yang mengerikan.
“Saya cuba mencipta robot yang lebih menyerupai manusia agar pesakit tidak perlu berasa takut,” katanya.
Jelas El-Komy, setakat ini, beliau menerima maklum balas positif daripada pesakit berhubung penggunaan robot itu.
“Pesakit melihat Cira-03 dan tidak berasa takut, sebaliknya mereka lebih percaya kerana robot lebih tepat berbanding manusia,” katanya.
Tambah El-Komy, Cira-03 sedang diuji di sebuah hospital swasta di Tanta, kira-kira 96 kilometer di luar Kaherah.
Cira-03 ketika ini diprogramkan untuk memeriksa suhu mana-mana individu yang disyaki dijangkiti Covid-19.