JAKARTA: Jenazah pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti yang maut dalam satu kemalangan jalan raya tragis membabitkan penyerang Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad dan ahli keluarganya, selamat tiba di Jakarta.
Lapor Kompas.com, ketibaan jenazah di rumah Titik yang terletak di Kampung Nambuhan, Wilayah Grobogan, Jawa Tengah disambut dengan tangisan ahli keluarga.
“Maklumat yang kami terima adalah kereta itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan,” kata kakak Titik, Masrukin.
Pada 6 Disember lalu, Syafiq, 25, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dalam perjalanan membawa isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, yang sedang berpantang ke kampung mentuanya di Pendang, Kedah terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Kenderaan Syafiq terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, Pulau Pinang sehingga meragut nyawa ibu mertuanya, anaknya yang baru berusia dua bulan dan Titik, sementara beliau, isteri dan anak sulungnya cedera parah.
Masrukin mendakwa, ketika kejadian, jenazah Titik ditemukan dalam keadaan memeluk erat bayi majikannya.
“Ketika itu, Titik sedang memeluk dan memegang erat bayi Syafiq yang juga maut dalam kemalangan itu. Mereka duduk di belakang kenderaan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Masrukin mengakui kematian adiknya meninggalkan kesan yang sangat mendalam ke atas mereka sekeluarga.
Katanya, ini kerana Titik yang bekerja sebagai pembantu rumah selama 11 tahun merupakan pencari nafkah tunggal keluarganya sejak dia bercerai dengan suaminya.
“Demi menyara keluarganya, Titik bekerja sebagai pekerja bawahan di Singapura selama lima tahun dan kemudian berpindah ke Malaysia menjadi pembantu rumah selama enam tahun.
“Titik merupakan seorang ibu yang amat menyayangi anak-anaknya, setiap bulan dia menghantar wang dan kerap menghubungi keluarganya. Kesian kedua-dua anaknya, ditinggalkan pada usia yang muda,” katanya.
Masrukin berkata, Titik juga pernah memaklumkan mahu pulang ke Indonesia pada April depan bagi perkahwinan anaknya.