JAKARTA: Beberapa pemandu kereta dan motosikal terkejut apabila menerima sebotol vitamin ketika melalui sekatan jalan raya menerusi Operasi Lilin Krakatau 2020 di Bandar Lampung di sini.
Lapor Kompas.com, rata-rata pengguna jalan raya menjangkakan mereka disaman kerana melanggar undang-undang, namun sebaliknya berlaku apabila mereka diberikan pakej peralatan mencegah penularan Covid-19.
Seorang pemandu motosikal, Sujadi, 38, masih kelihatan terkejut selepas menerima bungkusan daripada anggota polis trafik Bandar Lampung semalam.
“Saya fikir ada sekatan jalan raya, jadi saya sudah pasrah kerana baru teringat cukai jalan tertinggal.
“Ternyata tanggapan saya silap kerana saya diberi sebotol vitamin serta pelitup muka dan saya bersyukur dengan pemberian itu kerana harga vitamin agak mahal ketika ini,” katanya.
Ketua Polis Trafik Bandar Lampung, Rafly Yusuf Nugraha berkata, operasi tersebut bertujuan mendidik pemandu kenderaan khususnya dari luar daerah ini mengenai protokol Covid-19 sempena sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2021.
“Antara caranya termasuk membekalkan mereka set lengkap kesihatan seperti pelitup muka, multivitamin dan cecair pembasmi kuman,” ujarnya.