JAKARTA: Pejabat Kebudayaan Jakarta akan menutup beberapa kawasan tumpuan pelancong terletak di ibu negara Indonesia buat sementara waktu sempena cuti perayaan Hari Krismas dan Tahun Baharu.
Lapor Tribunnews, destinasi pelancongan itu akan ditutup pada 25 dan 31 Disember dan 1 Januari depan.
Ketua Pejabat Kebudayaan Jakarta, Iwan Henry Wardhana berkata, langkah itu selaras dengan Perintah Gabenor Nombor 12/2020 mengenai mengawal aktiviti kemasyarakatan.
Kata beliau, tujuannya bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku ketika cuti umum.
“Kami menutup sementara beberapa destinasi pelancongan di Jakarta. Ia berlandaskan Perintah Gabenor Nombor 12/2020 bagi mengurangkan kesesakan ketika pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara kawasan tumpuan pelancong yang bakal ditutup untuk tiga hari termasuk Muzium Sejarah Jakarta, Muzium Taman Prasasti, Muzium Wayang, Muzium Joang’45, Muzium Seni dan Seramik, Muzium Bahari, Pulau Cipir, Pulau Kelor dan Pulau Onrust.
Selain itu, destinasi pelancongan seperti Rumah Si Pitung, Taman Ismail Marzuki, Gedung Kesenian Jakarta, Wayang Orang Bathara, Taman Benyamin Sueb, Kawasan Perkampungan Budaya Betawi dan Bangunan Latihan Kesenian di setiap kawasan bandar juga akan ditutup dalam tempoh tersebut.
Pejabat Kebudayaan Jakarta turut menasihati penduduk agar menggunakan cuti umum tersebut dengan berada di rumah.
“Oleh itu, sila gunakan waktu ini untuk tinggal di rumah dan mengawasi kesihatan keluarga anda,” katanya.