JAKARTA: Setiausaha Agung Front Pembela Islam (FPI) Rizieq Shihab, Munarman mendedahkan identiti enam ahlinya yang ditembak mati polis ketika mengiring keluarga Rizieq.
Lapor CNN Indonesia, Munarman berkata, pihaknya terputus hubungan dengan enam orang tersebut sehinggalah diketahui mereka ditembak oleh polis.
“Apabila Ketua Polis Metro Jaya mengadakan sidang akhbar dan memberikan maklumat tentang enam pengiring ditembak, barulah kami mengetahui keadaan mereka yang berada di dalam kereta tersebut,” katanya.
Pengawal pertama ialah Andi Oktiawan, 33; Ahmad Sofiyan, 26; Faiz Ahmad Syukur, 22; Muhammad Reza, 18; Lutfi Hakim, 24 dan Muhammad Suci Khadavi, 23.
Munarman malah menafikan berlaku kejadian tembak-menembak kerana pengiring FPI tidak pernah mempunyai senjata api atau senjata tajam.
Dalam kejadian pagi semalam, polis menembak enam individu berdekatan tol Jakarta-Cikampek.
Ketua Polis Jakarta, Inspektor Jeneral Fadil Imran berkata, tembakan itu dilakukan kerana kesemua suspek didapati menyerang pihak polis semasa penyiasatan terhadap kes Rizieq dilakukan.
Jelasnya, insiden berpunca daripada maklumat yang tersebar melalui aplikasi mesej tentang pergerakan pihak berkuasa untuk mengawal pemeriksaan Rizieq.
Rizieq dijadualkan menjalani pemeriksaan sebagai saksi berhubung kes pelanggaran protokol kesihatan di Petamburan, Tanah Abang, Jakarta.
Pemeriksaan itu akan dilakukan di Mapolda Metro Jaya.
“Polis Daerah Metro Jaya kemudian melakukan penyelidikan mengenai info tersebut. Ketika anggota kami mengikuti kederaan yang disyaki pengikut MRS, kenderaan petugas dilanggar dan diserang dengan senjata api serta senjata tajam,” katanya.
Beliau malah merayu kepada pengikut Rizieq supaya tidak menghalang polis daripada menyiasat kes yang berlaku pada 14 November lalu.
“Saya dan Pangdam Jaya memohon kepada MRS serta pengikutnya supaya tidak menghalang proses pendakwaan kerana tindakan itu tidak sah di sisi undang-undang dan boleh dihukum,” katanya.