THE HAGUE: Pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menolak gesaan penduduk Uighur yang hidup dalam buangan untuk menjalankan siasatan terhadap China atas tuduhan melakukan pembunuhan secara beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan.
Penduduk Uighur menyerahkan sejumlah besar dokumen bukti kepada ICC pada Julai lalu yang mendakwa China menahan lebih sejuta penduduk etnik berkenaan dan minoriti Islam lain di kem pendidikan, selain memaksa wanita Uighur menjalani proses ‘mengikat peranakan’.
Pejabat pendakwa raya Fatou Bensouda memaklumkan pihaknya tidak dapat bertindak kerana dakwaan penindasan itu berlaku di sebuah wilayah di China dan negara tersebut bukan anggota ICC.
Menurut pejabat Bensouda, sebahagian besar dakwaan jenayah tersebut gagal memenuhi prasyarat bidang kuasa mahkamah.
Dalam pada itu, mengenai dakwaan penduduk Uighur dari Tajikistan dan Kemboja dipaksa pulang ke China, laporan ICC menjelaskan tiada asas untuk meneruskan permohonan itu buat masa ini.
Penduduk Uighur menyatakan, meskipun dakwaan penghantaran pulang secara paksa itu tidak berlaku di China, ICC masih lagi boleh bertindak kerana insiden itu berlaku di Tajikistan dan Kemboja, iaitu kedua-dua negara anggota ICC.
Jelas laporan pendakwa raya ICC, peguam penduduk Uighur kini memohon mahkamah untuk mempertimbangkan semula keputusan itu atas dasar fakta atau bukti baharu. – AFP